 |
Hukum Solawat Atas Nabi SAW |
Friday, December 14, 2007 |

Berselawat ke atas Nabi sallallahu `alaihi wasallam adalah dituntut. Dalilnya ialah firman Allah: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya sentiasa berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu ke atas baginda dan ucapkanlah salam.” [1]Kelebihan selawat ke atas Nabi disebut dalam banyak hadis. Antaranya: 1. Hadis daripada Abdillah bin `Amru bin al-`Aas radiyallahu `anhu, bahawasanya beliau mendengar Rasulullah saw bersabda: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا Maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu selawat, Allah berselawat ke atasnya sepuluh selawat.” [2]2. Hadis daripada Abdillah bin Mas`ud radiyallahu `anhu bahawasanya Rasulullah saw bersabda: أَوْلَى النَاسِ بِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلاَةً Maksudnya: “Orang yang paling layak denganku pada hari Qiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” [3]Disunatkan memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat kerana ia merupakan hari yang paling afdhal. Dalilnya hadis daripada Aus bin Aus radiyallahu `anhu katanya; sabda Rasulullah saw: إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَأَكْثِرُوْا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِيْهِ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ مَعْرُوْضَةٌ عَلَيَّ فَقَالُوْا يَا رَسُوْلَ اللهِ وَكَيْفَ تُعْرَضُ صَلاَتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرَمْتَ؟ قَالَ يَقُوْلُ بَليت قَالَ فَإِنَّ اللهَ حَرَّمَ عَلَى اْلأَرْضِ أَجْسَادَ اْلأَنْبِيَاءِ Maksudnya: “Sesungguhnya antara hari kamu yang paling afdhal ialah hari Jumaat. Justeru, perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu itu akan dibentangkan kepadaku.” Para Sahabat lalu bertanya: Wahai Rasulullah saw! Bagaimana dibentangkan kepada kamu selawat kami sedangkan kamu telah hancur? Kata Aus; Baginda bersabda: Aku telah hancur. Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas bumi (makan) jasad-jasad para Anbiya’.” [4][1] Al-Ahzab; ayat 56 [2] Hadis Sahih riwayat Muslim [3] Hadis Hasan riwayat Tirmizi [4] Hadis Sahih riwayat Abi Dawud, Nasa’i dan Ibn Majah. |
posted by admin @ 2:24 PM   |
|
|
petikan Tafsir Ibn Kathir-terjemahan Takiri |
Thursday, December 13, 2007 |
Kuliah Dhuha 1 Dis 2007 di Darul Fuqaha : Tafsir Ibn Kathir Firman Allah: أولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون Terjemahannya: “Merekalah itulah orang yang berada di atas petunjuk daripada Tuhan mereka dan mereka itulah sebenar-benar orang yang berjaya” Tafsirannya: Allah berfirman: [ (أولئك) terjemahannya (mereka itulah)] ertinya mereka yang bersifat dengan sifat-sifat yang lalu terdiri daripada keimanan dengan perkara ghaib, menegakkan solat, membelanjakan sebahagian yang Allah rezkikan, beriman dengan apa yang diturunkan kepada Rasulullah saw dan apa yang diturunkan kepada nabi-nabi sebelum baginda serta meyakini hari akhirat. Ia menuntut persiapan menghadapinya dengan melakukan amalan-amalan solih dan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan. Allah berfirman: [(على هدى) terjemahannya (berada di atas petunjuk)] ertinya berada di atas cahaya, penerangan dan bimbingan daripada Allah. Allah berfirman: [(وأولئك هم المفلحون) terjemahannya (dan mereka itulah sebenar-benar orang-orang yang berjaya)] ertinya merekalah orang-orang yang sebenar-benar berjaya. *………………..* Berkata Muhammad bin Ishaq daripada Muhammad bin Abi Muhammad daripada `Ikrimah atau Sa`id bin Jubayr daripada Ibn `Abbas: [(أولئك على هدى من ربهم) terjemahannya (mereka itulah orang yang berada di atas petunjuk daripada Tuhan mereka)] maksudnya mereka yang berada di atas cahaya Tuhan mereka dan istiqamah di atas apa yang dating kepada mereka. [(وأولئك هم المفلحون) terjemahannya (dan mereka itulah orang yang benar-benar berjaya)] ertinya mereka yang mendapat apa yang mereka tuntut dan selamat daripada keburukan yang mereka hindari. Berkata Ibn Jarir: Adapun makna أاولئك على هدى من ربهم) maksudnya mereka berada di atas cahaya, petanda, istiqamah dan keselarasan Tuhan mereka menerusi penyelarasan Allah dan taufiknya terhadap mereka. Tafsiran bagi firman Allah (وأولئك هم المفلحون) ertinya orang yang berjaya mendapat apa yang mereka tuntut di sisi Allah menerusi amalan dan keimanan mereka dengan Allah, Kitab-kitabNya, dan Rasulnya yang berupa kejayaan mendapat pahala, kekal dalam syurga dan keselamatan daripada hukuman yang disediakan oleh Allah untuk orang yang memusuhiNya. Ibn Jarir menghikayatkan satu pandangan daripada sebahagian mereka bahawa mereka merujuk kata tunjuk dalam firman Allah (اولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون) kepada orang-orang yang beriman di kalangan Ahli Kitab yang disifatkan oleh Allah menerusi firmanNya: [(والذين يؤمنون بما أنزل إليك ) terjemahannya (Dan mereka yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada kamu)] berasaskan perbezaan pendapat yang lalu dibincangkan. Berasaskan pandangan ini ayat (والذين يؤمنون بما أنزل إليك) boleh dikira sebagai ayat yang terputus dengan ayat yang sebelumnya. Analisis tatabahasanya adalah nominative sebagai subjektif. Prediketnya ialah ayat (وأولئك هم المفلحون). Beliau (iaitu Ibn Jarir) memilih bahawa kata tunjuk itu kembali merujuk kepada semua sifat-sifat yang telah disebut samada di kalangan orang Arab yang beriman atau Ahli Kitab yang beriman. Ini bersandarkan kepada riwayat al-Sudi daripada Abi Malik dan daripada Abi Solih daripada Ibn `Abbas dan daripada Murrah al-Hamadani daripada Ibn Mas`ud dan juga daripada beberapa orang sahabat Rasulillah saw. Adapun orang yang beriman dengan perkara ghaib, mereka adalah di kalangan orang Arab dan mereka yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan kepada Nabi-nabi sebelum kamu adalah mereka yang beriman di kalangan Ahli Kitab. Kemudian Allah menhimpunkan kedua-dua kumpulan lalu berfirman: (اولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون). Telah dijelaskan dalam tarjihan sebelumnya bahawa ia adalah sifat bagi orang-orang beriman secara umum. Kata tunjuk adalah merujuk kepada mereka. Telah dikutip daripada Mujahid, Abi `Aliyah, al-Rabi` bin Anas dan Qatadah serta berkata pula Ibn Abi Hatim: Bercerita kepada kami bapaku bercerita kepada kami Yahya bin `Uthman bin Solih al-Misri bercerita kepada kami Ibn Luhai`ah, bercerita kepada saya `Ubaydillah bin al-Mughirah daripada Abi al-Haitham yang mana namanya adalah Sulaiman bin `Abdillah daripada `Abdillah bin `Amrin daripada Nabi saw bahawa dikatakan kepada baginda: “Wahai Rasulallah! Sesungguhnya kami membaca sebahagian al-Qur’an lalu kami mengharap dan membaca sebahagian al-Qur’an. Selanjutnya kami hampir-hampir berputus asa.” Sabda baginda: ألا أخبركم عن أهل الجنة و أهل النار قالوا بلى يا رسول الله Maksudnya: “Mahukah kamu aku beritakan tentang penghuni syurga dan penghuni neraka.” Balas mereka bahkan wahai Rasulullah saw. Baginda menyatakan: (الم ذلك الكتاب – المفلحون ) merekalah penghuni syurga. Kata Sahabat: Kami berharap menjadi mereka. Kemudian baginda menyatakan: (إن الذين كفروا) merekalah ahli neraka. Balas Sahabat: Kami bukan mereka wahai Rasulullah. Balas baginda: Benar!
|
posted by admin @ 3:25 PM   |
|
|
Ibu tiri- temuramah dengan wartawan MIDI karangkraf |
|
hari ini wartawan majalah midi karangkraf datang untuk temuramah isu ibu tiri.... ibu tiri dalam Islam merujuk kepada isteri kepada bapa. sekiranya isteri belum disetubuhi maka ia menjadi wanita yang haram muaqqat (sementara) bagi si anak lelaki dengan maksud ia boleh dikahwini oleh anak tiri sekiranya telah bercerai dengan bapa. Sekiranya telah disetubuhi maka ia menjadi haram muabbad (selama-lamanya) bagi si anak tiri dengan maksud walaupun telah bercerai dengan bapa samada bercerai hidup atau kerana mati ia tidak boleh dikahwini oleh si anak lelaki tersebut. Bagaimana dengan hukum aurat? Hukum aurat bagi wanita yang haram selama-lamanya adalah seperti aurat antara lelaki dan perempuan yang mahram iaitu antara pusat dengan lutut. Adapun lain daripada itu ia bergantung kepada keadaan. sekiranya menimbulkan nafsu dan ransangan aurat perlu dijaga menurut kadar yang boleh menghalang ransangan.... |
posted by admin @ 11:51 AM   |
|
|
Mochas Cake & Pizza...projek menjana dana Darul Fuqaha InsyaAllah |
Wednesday, December 12, 2007 |
Dua hari tak sempat masukkan bahan dalam blog ni....sibuk sikit memantau pembukaan kedai "Mochas Cake & Pizza" di Bandar Baru Bangi. Dibuka secara rasmi petang isnin lalu mengambil sempena hari kelahiran Rasulullah saw. Terletak di Fasa 1 Bandar Baru Bangi, di hadapan kedai Sate Samuri. Lokasinya menarik kerana terdapat Maybank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, Pejabat Pos, Stesyen minyak Sheel, kedai-kedai makan dan juga kawasan pasar malam. Mudah-mudahan dimurahkan rezki oleh Allah untuk menampung kos gaji guru-guru di Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha. Jemput semua datang. Hari pertama dibuka seorang sahabat Ust Kauthar datang menjenguk masuk. Sangkanya kedai kek bukan Islam sebab selalunya yang menguasai pasaran kedai kek adalah bukan Islam. Kebetulan saya berada di situ. Saya jelaskan sememangnya antara tujuan kedai ini dibuka untuk memberi ruang umat Islam mendapatkan kek daripada buatan tangan orang Islam sendiri walaupun tak dapat dinafikan banyak bahan mentah masih dikuasai oleh mereka. Tetapi sekurang-kurangnya olahan kek dapat dipastikan suci dan bersih menurut Islam. Alhamdulillah Pizza yang disedikan mendapat pujian Cheff Rosli yang juga pemilik Vanilla Pastri di Bangi. Beliau datang makan untuk memberi semangat pada hari kedua pembukaan kedai. Kalau Cheff terkenal dah puji sedap, saya rasa takkan pelanggan biasa kata tak sedap kot...jadi sesiapa yang nak rasa pizza asli buatan warga Darul Fuqaha silalah datang ke kedai kami insyaAllah. |
posted by admin @ 11:13 PM   |
|
|
Sunat Keluar Daripada Khilaf Fuqaha |
|
Antara kaedah penting dalam kajian Fiqh ialah : “disunatkan keluar daripada khilaf (percanggahan)” Kaedah ini sangat penting dipegang oleh para Fuqaha kerana ia menunjukkan sikap berhati-hati dalam urusan agama.
Kaedah ini dapat dipetik daripada perlakuan para Sahabat Nabi. Antaranya, Ibn Mas`ud mengengkari perlakuan Othman melakukan solat lengkap (tamam) tanpa qasar ketika bermusafir.Namun begitu beliau tetap mengerjakan solat sebagai makmum di belakang Othman. Seterusnya beliau mengulas tindakannya itu dengan berkata: “Khilaf adalah sesuatu yang buruk.(riwayat Abu Dawud). ”Dalam satu riwayat: “Sesungguhnya saya tidak sukakan khilaf” (riwayat Baihaqi). (Ibn Hajar, Fath al-Bari, Bab Solat di Mina) Maksud khilaf di sini ialah percanggahan. Maksud beliau ialah meskipun beliau berbeza pendapat dengan Othman, tetapi dalam praktik amalan beliau cuba mengelakkan percanggahan. Imam Ahmad berpendapat berdarah hidung dan berbekam membatalkan wudu’. Ia berbeza dengan pandangan Imam Malik dan juga Sa`id bin al-Musayyab. Lalu beliau disoal tentang imam solat yang terkeluar darah dan tidak berwudu’ setelah itu, adakah kamu akan solat dibelakangnya? Beliau menegaskan: “bagaimana saya tidak solat di belakang Imam Malik dan Sa`id bin al-Musayyib?” |
posted by admin @ 11:09 PM   |
|
|
CITA-CITA SAYA: umur kedua selepas kematian! |
Sunday, December 9, 2007 |
Rasulullah saw bersabda: إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث صدقة جارية و علم ينتفع به وولد صالح يدعو له
Apabila mati anak ADam terputuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu sadaqah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak solih yang berdoa untuknya. Setiap orang hanya mempunyai satu umur di dunia yang akan menjadi tempat berladang untuk hari akhirat. Apabila mati segalanya berakhir. Namun, baginda menjelaskan masih ada ruang untuk manusia masih mendapatkan pahala selepas kematiannya. Inilah yang dikatakan sebagai umur kedua bagi manusia selepas kematiannya. Umur kedua terhasil apabila setiap orang memanfaatkan harta, ilmu dan anak-anaknya ketika hidup. Pertama, Harta yang ada dibelanjakan ke jalan Allah untuk sadakah bagi sesuatu yang kekal manfaatnya selepas kematian. Justeru ia memberi pahala yang berterusan. Saya berhasrat untuk menjadi si kaya yang boleh menggunakan kekayaannya untuk pembinaan projek pendidikan Islam bagi umat. Darul Fuqaha yang saya asaskan menjadi titik tolak untuk mencapai cita-cita ini. Kedua, Ilmu yang ada disebarkan lalu dimanfaatkan oleh ramai orang. Justeru selepas kematian, si guru masih dapat memperolehi pahalanya. Alhamdulillah saya bersyukur apabila Allah meletakkan saya di jalan ilmu untuk saya manfaatkan ilmu yang ada untuk umat. Saya telah berjaya sehingga kini menghasilkan beberapa buah buku sebagai alat sebaran ilmu kepada ummat. Jemputan menyampaikan ilmu tidak pernah henti. Kegiatan ilmu sentiasa berjalan di Darul Fuqaha sendiri dengan saya sebagai guru utamanya. Ketiga, anak soleh yang berdoa untuknya. Kewujudan Darul Fuqaha antara peransangnya adalah menyediakan persekitaran beragama bagi anak-anak saya. Saya begitu bimbang dengan persekitaran masyarakat yang tidak menuju ke arah akhirat. MOga mereka menjadi anak-anak yang soleh yang akan mendoakan kesejahteraan saya selepas kematian. Saya telah mengasaskan Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha pada tahun 2004. Diikuti dengan Sek Rendah Islam Pintar Tahfiz di awal 2006. Saya juga menubuhkan kolej Pengajian Islam & Tahfiz Fuqaha pada pertengahan 2007. Saya telah mengasaskan gabungan SEk ren Islam Pintar Tahfiz pada oktober lalu. Awal 2008 insyallah akan beroperasi pula Institut Tahfiz Profesional Fuqaha. Bersama saya lebih 60 orang anak-anak yatim yang saya didik di Darul Fuqaha. Mudah-mudahan mereka juga adalah anak-anak saya yang akan menyembahyangkan jenazah saya di saat penyediaan pengkebumian. Alhamdulillah saya masih aktif menyampaikan ilmu di merata tempat di seluruh Malaysia di samping Lembah Kelang sebagai fokus. Saya mengharapkan puluhan ribu anak-anak murid saya akan menyembahyangkan jenazah saya nanti. Itulah harapan saya. Justeru cita-cita besar saya menerusi darul fuqaha ialah melahirkan ribuan ilmuwan dan umat yang solih. ITULAH UMUR KEDUA SAYA SELEPAS KEMATIA. Allahumma aaamin.... |
posted by admin @ 11:28 AM   |
|
|
|

KALAM MUQODDIMAH |
web ini adalah kesinambungan daripada laman web www.darulfuqaha.com yang juga
dikendalikan oleh al-Ustaz Mohd Khairuddin at-Takiri memuatkan rencana, artikel dan coretan peribadi dan pandangan
al-Ustaz terhadap isu-isu semasa yang timbul dalam masyarakat Islam menurut perpektif Islam.
|
IKIM.FM |
Bersama Ustaz Dr. Takiri setiap Isnin di IKIM jam 2.30 ptg
|
PERKENALAN |
Name: USTAZ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Home:
MAKLUMAT:
AL-USTAZ MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI, Pendakwah, Pendidik & Ahli perniagaan sepenuh masa. Bekas Pensyarah Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM (meletakkan jawatan Ogos 2008)
Berkelulusan B.A dan Master Bahasa & Kesusasteraan Arab di Universiti of Jordan dan Aal Bayt Univ, Jordan dan Phd Pengajian Islam di UKM.
KELAHIRAN
Dilahirkan di Kg Seberang Takir, K. Trg pada 1973. Anak sulong daripada 16 orang adik-beradik.
PENDIDIKAN
Pendidikan menengah awal di Sek. Men Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, K. Trg pada tahun 1986. Setelah mendapat
keputusan cemerlang dalam SRP pada tahun 1988, mendapat tawaran ke Kolej Islam Kelang. Namun hati lebih terpaut
untuk memasuki aliran Thanawi yang menggunakan bahasa Arab sepenuhnya di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin, K. Trg. Trg yang merupakan sekolah agama terbaik
menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik sekolah-sekolah agama di Terengganu. Namun, pengajian di aliran Thanawi tak sempat
diselesaikan kerana setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang diambil secara persendirian pada tahun 1990,
hati lebih berminat untuk segera ke luar negara menuntut ilmu. Justeru, tawaran untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1992
dengan biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia ke Universiti of Jordan diterima.
Alhamdulillah, berjaya mendapat Bachelor
dengan kepujian di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Univ. of Jordan pada tahun 1996. Seterusnya pengajian di peringkat Master
diteruskan dan berjaya mendapat Master di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Aal al-Bayt University, Mafraq,Jordan pada tahun 2000. Tajuk tesis Master ialah
Signifikan partikel setara dan genetif di sisi sarjana sintaksis dan sarjana Usul Fiqh serta pengaruhnya terhadap Kefahaman Teks Syara`
Seterusnya Phd Pengajian Islam di Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM dengan tesis bertajuk:
"Retorik Partikel Waw Dalam al-Qur'an Dan Pengaruhnya Terhadap Penterjemahan Makna al-Qur'an ke Dalam Bahasa Melayu."
PENGALAMAN BERTUGAS:
Pada tahun 1999 diterima bertugas sebagai guru bahasa di CELPAD, UIA. Setelah mendapat Master di awal 2000 dilantik sebagai Pensyarah Bahasa.
Mendapat tawaran sebagai pensyarah Bahasa di UITM pada tahun 2002 namun ditolak kerana hati lebih terpikat dengan UKM setelah diadakan beberapa kali istikharah.
Seterusnya bertugas sebagai Tutor pada tahun 2002 seterusnya Pensyarah bermula pada tahun 2006 di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM. pada Ogos 2008 meletakkan jawatan sebagai Pensyarah untuk memfokuskan kerja-kerja dakwah, pendidikan dan perniagaan.
TUGAS SEKARANG
Sekarang bertugas sebagai Pendakwah, Pendidik, Penulis, Aktivis Sosial dan Ahli Perniagaan sepenuh masa di samping sebagai Presiden dan Pensyarah di Kolej Islam Fuqaha
AKTIVITI PENGLIBATAN
Pengerusi Eksekutif & Pengasas Darul Fuqaha, Pengerusi Eksekutif&
Pengasas Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Presiden dan Pengasas Kolej Islam Fuqaha,Pengerusi Eksekutif dan Pengasas SRIP Tahfiz Kajang dan ALP SRIP Tahfiz K. Trg,
Pengasas dan Presiden Nadwah Ilmuan Muslim, Exco Persatuan Ulama Malaysia, Pengerusi Sekreteriat Penerbit & Pengedar Buku
Islam Malaysia (SPEEDI) dan Ahli Majlis Buku Islam Malaysia. Beliau cergas sebagai Penceramah (di masjid, tv dan radio), Penulis
(buku, artikel dan makalah), Penerbit (buku-buku Islam, Penggiat Sosial dan Pengamal Perubatan Islam.
PENULISAN BUKU
Antara buku beliau bertajuk:
1) Hukum Berurusniaga Dengan Yahudi Dunia
2) Hak-hak Bukan Islam Dalam Negara Islam
3) Adab-Adab Berdoa Dalam Islam
4) Terjemahan Tafsri Munir Juzuk 30
5) Hukum Wanita Menjadi Imam Solat Jumaat; Kontroversi Solat Jumaat Dr Amina Wadud
6) Perspektif Islam
7) Intipan Khalwat Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah; Menilai Pandangan Kontroversi Mufti Perlis
8)Hiburan & Gurau Senda Menurut Islam
PERHUBUNGAN
saya boleh dihubungi di
talian 013 3621236/ 0133890000 email attakiri@ukm.my / attakri@yahoo.com. Artikel dan tulisan beliau boleh dilayari di http://www.darulfuqaha.com & www.ceramahkhairuddin.com
baca lagi..
|
MUTIARA KATA TAKIRI |
Hiduplah untuk ISLAM pasti ALLAH limpahkan anda dengan kegembiraan dan ketenangan
|
Previous Post |
|
Archives |
|
KALENDAR |
|
SOAL-JAWAB HUKUM |
SEBARANG PERTANYAAN BERKENAAN HUKUM ATAU INGINKAN SEBARANG PERBINCANGAN MENGENAI SESUATU ISU,
PARA PENGUNJUNG DIMINTA UNTUK MEMASUKI FORUM YANG DISEDIAKAN. ANDA HANYA PERLU REGISTER
UNTUK MEMBUAT SEBARANG POSTING
|
Powered by |
 |
|