Ibu tiri merujuk kepada perempuan-perempuan yang menjadi isteri-isteri kepada bapa seseorang selain daripada ibu kandungnya sendiri. Ibu tiri ini berada pada dua keadaan. Pertamanya ibu tiri yang masih menjadi isteri kepada bapa. Keduanya ibu tiri yang telah berpisah dengan bapa samada berpisah kerana mati atau diceraikan. Dari sudut lain ibu tiri juga terbahagi kepada dua juga iaitu ibu tiri yang telah disetubuhi oleh bapa dan ibu tiri yang belum disetubuhi oleh bapa.
Ibu tiri yang telah disetubuhi oleh bapa menjadi mahram muabbad (yang diharamkan selama-lamanya) bagi si anak tiri. Implikasi pada hukum mahram muabbad antaranya ialah aurat antara ibu tiri dan anak tiri adalah seperti aurat seorang perempuan dengan bapa, bapa suami, adik beradik lelaki dan anak-anak saudara yang lelaki. Allah Taala berfirman: وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ Maksudnya: "Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita beriman hendaklah mereka rendahkan sebahagian pandangan mata mereka, menjaga kemaluan mereka, jangan menzahirkan perhiasan diri mereka melainkan apa yang sedia zahir, jatuhkanlah tudung-tudung mereka ke atas dada-dada mereka dan jangan menzahirkan perhiasan diri mereka melainkan kepada suami-suami mereka atau bapa-bapa mereka atau bapa-bapa suami-suami mereka atau anak-anak lelaki mereka atau atau anak-anak lelaki suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka atau anak-anak lelaki saudara perempuan mereka atau perempuan-perempuan mereka atau hamba sahaya mereka…( Surah al-Nur: 31)
Ayat tersebut menjelaskan tentang hokum aurat perempuan dengan orang lelaki di kalangan mahram muabbad. Termasuk dalam senarai lelaki mahram muabbad tersebut ialah anak- anak kepada suami atau anak-anak tiri lelaki. Hukum mahram muabbad ini juga disebut oleh Allah dalam ayat al-Nisa: 23.
Begitu juga si ibu tiri ini yang telah disetubhi oleh bapa ini haram dikahwini oleh si anak tiri selama-lamanya setelah berpisah dengan bapa. Allah berfirman: وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُمْ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan Janganlah kamu mengahwini perempuan yang telah pernah dinikahi oleh bapa-bapa kamu melainkan apa yang telah berlalu. Ianya adalah sesuatu yang keji (zina) dan dibenci serta seburuk-buruk jalan.” (al-Nisa’: 22)
Adapun ibu tiri yang belum disetubuhi oleh bapa, ia menjadi haram sementara kepada si anak tiri selama tempoh perkahwinannya dengan bapa. Apabila bercerai hokum haram tersebut hilang dan dia menjadi perempuan ajnabi kepada si anak.
Merujuk kepada hokum-hakam diatas dapat difahami bahawa ibu tiri yang masih menjadi isteri kepada bapa dan juga ibu tiri yang telah disetubuhi oleh bapa dan kemudian berpisah dengannya merupakan sebahagian daripada ahli keluarga yang dekat. Ahli keluarga yang dekat ini lebih utama untuk disayangi, dihormati dan di bantu. Allah berfirman وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى
Maksudnya: Dan jadilah kamu hamba kepada Allah dan janganlah kamu menyengutukan sesuatu dengaNya dan dengan kedua ibu dan bapa hendaklah berbuat baik dan juga kepada orang yang hubungan kerabat persaudaraan. (al-Nisa’: 36)
Dalam ayat tersebut Allah menyebut tentang ibu bapa yang perlu dibuat budi dan kebaikan kepadanya, seterusnya diringi dengan kaum kerabat. Ibu tiri termasuk sebahagian daripada kerabat ini. Justeru, mereka juga mempunyai hak kerabat yang mesti ditunaikan oleh si anak-anak tiri.
Setiap orang termasuklah seorang ibu mempunyai naluri sayang kepada anak kandung sendiri melebihi sayang kepada orang-orang lain. Justeru itu apabila si ibu tiri menyayangi si anak sendiri lebih daripada anak tiri itu adalah sesuatu yang normal dan tidak salah. Ini kerana sayang adalah suatu naluri dan perasaan yang tidak dapat dikawal oleh manusia.
Yang penting ialah jangan sampai sayang yang lebih itu membawa kepada tidak berlaku adil kepada anak tiri pada hokum-hukum zahir dengan menzalimi hak yang sepatutnya dimiliki dan diperolehi oleh si anak tiri yang merupakan adik beradik sedarah dengan anaknya sendiri. Sekiranya setiap anak dan anak tiri mendapat haknya walaupun tidak sama, dia telah berlaku adil. Adil tidak memberi erti mendapat hak yang sama, tetapi mendapat hak yang sebenar kerana adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Kita kiaskan dengan sayang suami kepada isteri-isteri yang bersifat abstrak dan tidak sama. Ia adalah naluri yang ditegaskan oleh Allah: وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا
Maksudnya: “dan kamu sama sekali tidak mampu berlaku adil antara isteri-isteri meskipun kamu sangat menginginkannya. Justeru, janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Nisa’ : 129)
Imam Ahmad meriwayatkan hadis yang menjelaskan bahawa ayat ini turun kepada Nabi yang lebih menyayangi Aisyah berbanding isteri yang lain, namun baginda tetap berlaku adil kepada isteri-isteri yang lain pada pembahagian malam. (rujuk Tafsir Ibn Kathir)
Justeru ulama tafsir menjelaskan maksud keadilan yang tak dapat dipenuhi oleh suami di sini ialah keadilan pada kasih dan sayang. Ia diluar kemampuan Nabi Muhammad sendiri untuk mengawalnya. Tetapi janganlah kasih saying itu membawa kepada menzalimi hak-hak yang sepatutunya dinikmati dan diperolehi oleh isteri-isteri lain pada hokum-hakam zahir seperti makan-minum, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya. |