 |
MULTAQA ULAMA MUDA |
Thursday, December 27, 2007 |
MULTAQA ULAMA MUDA
Anjuran : Nadwah Ilmuwan Muslim Tarikh : 29 Disember 2007 Tempat : Darul Fuqaha, Bangi, Selangor. Masa : 8.30 pagi – 5 ptg
Pembentang Ust Dr Zulkifli Muhammad al-Bakri – Pensyarah Kanan USIM Tajuk : Aplikasi Fiqh Pada Masa Kini
Ust Zamiri Abd Razak – Penolong Naib Presiden Takaful Ikhlas Tajuk: Takaful / Insuran Islam: Teori Dan Praktikal
Ust Zahazan Muhammad – Pensyarah UIA Tajuk : Tafsir antara pembaharuan dan tradisi
Ust Zaharuddin Abd Rahman – Pensyarah UIA – Tajuk : Akad-Akad Dalam Fiqh Muamalat Dan Praktis di Bank
Ust Azlan Abd Aziz - Panel Hadis al-Ahkam.net Tajuk : Penggunaan Hadis Dha`if di Sisi Imam Tirmizi
Objektif:
Multaqa ini bertujuan menghimpunkan para ilmuwan muda Islam bagi membincangkan isu-isu kontemporari ummah. Diharap ia akan menjadi landasan perbahasan yang boleh menyemarakkan lagi semangat mengkaji dan menambah ilmu pengetahuan di kalangan ilmuwan muda di samping mengikat ukhuwwah di kalangan mereka.
Konsep Perjalanan Multaqa
Peserta Multaqa terdiri daripada ilmuwan muda Islam yang mempunyai latar belakang Pengajian Islam. Mereka akan mengambil bahagian dalam perbahasan secara meja bulat. Para pemerhati di kalangan orang awam hanya bertindak sebagai peserta biasa tanpa dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan atau soal-jawab. Dimulakan dengan pembentangan oleh pembentang jemputan dan diikuti dengan sesi perbahasan oleh para peserta yang terdiri daripada ilmuwan muda Islam yang mempunyai latar belakang Pengajian Islam.
Yuran
1. Tiada yuran dikenakan. 2. Bayaran makan sebanyak RM 5 akan dikenakan bagi makan tengahari. 3. Bayaran sebanyak RM 2 dikenakan bagi peserta yang ingin mendapatkan kertas kerja perbahasan.
PENYERTAAN & KETERANGAN LANJUT
HUBUNGI UST HARME 0192121972 / UST AZLAN 019 2677703 |
posted by admin @ 11:53 AM   |
|
|
HAKIKAT MUSLIM DAN ORANG YANG BERHIJRAH |
Wednesday, December 26, 2007 |
TEKS HADIS
عن عبدالله بن عمرو عن النبي صلى اله عليه وسلم قال: اَلْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
MAKSUD HADIS:
Daripada Abdillah bin `Amr daripada Nabi saw, baginda bersabda: Seorang muslim ialah seorang yang selamat orang-orang Islam yang lain daripada lidahnya dan tangannya. Orang yang berhijrah pula ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.
Hadis riwayat Bukhari, Abu Dawud dan Nasa’i.
ANALISIS TATABAHASA
(المسلم) Subjek. Hukumnya adalah nominative. Tanda nominatifnya ialah baris depan pada huruf akhirnya. (من) Kata nama mausul. Pola binaan katanya berasaskan baris mati. Berada pada kedudukan nominative sebagai prediket. (سلم) Kata kerja lampau. Pola binaan katanya berasaskan baris atas. (المسلمون) Pelaku bagi kata kerja. Hukumnya nominatif. Tanda nominatifnya ialah huruf waw. Gabungan kata kerja dan pelaku membentuk ayat kerjaan, menjadi ayat sambungan bagi kata nama mausul. (من) partikel genetif. Pola binaan katanya berasaskan baris mati. (لسان)kata nama genetif disebabkan partikel genetif. Hukumnya genetif. Tanda genetifnya ialah baris bawah pada huruf akhirnya. Ia juga menjadi kata penyandar. (ه)ganti nama ketiga. Pola binaan katanya berasaskan baris bawah. Berada pada kedudukan genetif sebagai kata sandaran. (و)partikel setara. Pola binaan katanya berasaskan baris atas. (يد)kata disetara kepada (لسان). Hukumnya genetif. Tanda genetifnya baris bawah pada akhir hurufnya. Ia juga menjadi kata penyandar. (ه)ganti nama ketiga. Pola binaan katanya berasaskan baris bawah. Berada pada kedudukan genetif sebagai kata sandaran.
HURAIAN HADIS
Dari sudut bahasa, antara maksud perkataan “islam” ialah menyerah diri dan memberi selamat.
Dari sudut istilah pula ia merujuk kepada agama yang mengandungi kumpulan kepercayaan dan peraturan yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia menerusi para nabi dan rasul yang dilantik oleh Allah.
Perkataan “muslim” dari sudut bahasa pula bermaksud orang yang memberi keselamatan kepada orang lain atau orang yang menyerah diri.
Dari sudut istilah ia merujuk kepada orang yang menganut agama Islam.
Dalam hadis di atas Rasulullah saw menjelaskan hakikat seorang muslim dengan dikaitkan dengan makna asal islam dan muslim sebagai memberi keselamatan.
Oleh kerana Islam memberi maksud “memberi keselamatan” justeru, seorang muslim tentu sahaja memberi keselamatan kepada orang lain. Keselamatan ini hanya akan dikecapi oleh orang lain apabila mereka selamat daripada gangguan daripada dirinya samada gangguan menerusi lidah percakapan atau gangguan menerusi tangannya.
Antara bentuk gangguan lidah ialah umpatan, celaan, cacian, makian, ugutan dan ancaman. Antara bentuk gangguan tangan pula ialah merosakkan atau mencuri serta merompak harta orang lain, mencederakan anggota orang lain atau membunuhnya serta menceroboh maruahnya.
Keadaan ini bertepatan dengan hakikat Islam yang datang untuk memelihara lima perkara asasi kehidupan manusia iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga maruah, menjaga harta dan menjaga akal. Hijrah pula merujuk kepada perpindahan seseorang dari satu tempat ke satu tempat atau satu keadaan ke satu keadaan. Hijrah dari satu tempat ke satu tempat berlaku dalam sejarah Islam iaitu hijrah Rasulillah dan Sahabat dari Makkah ke Madinah demi kerana Islam. Hijrah keadaan pula merujuk kepada hijrah seseorang meninggalkan kekufuran atau meninggalkan perkara-perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.
Hijrah meninggalkan tempat yang tidak baik yang boleh memberi kesan kepada kehidupan, akhlak dan cara fikir seseorang amat wajar dilakukan. Ini kerana manusia memerlukan persekitaran yang baik untuk membentuk jiwa dan akhlaknya. Namun, penghijrahan ke tempat baik semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak diiringi dengan usaha untuk meninggalkan keburukan akhlak yang meraja dalam diri. |
posted by admin @ 1:38 PM   |
|
|
Nabi Ibrahim Tidak Berperikemanusian Sebab Sanggup Sembelih Anak? |
Monday, December 24, 2007 |
Saya menerima satu sms berbunyi: “Bantu saya beri satu hujah yang kuat untuk menolak dakwaan Nabi Ibrahim tu seorang yang tak berperikemanusiaan sebab sanggup sembelih anaknya Nabi Ismail walaupun hanya simbolik kepada korban haji? Kononnya ia juga bukti Islam tu ganas. Tolong jelaskan.”
Saya menjawab: Tindakan Nabi Ibrahim datang daripada Aqidah/keyakinan bahawa Allah adalah segala-galanya. Ia tak akan diterima oleh orang yang tidak beraqidah/berkeyakinan seperti Ibrahim. Tak perlu runsing dengan orang yang tak beraqidah/berkeyakinan seperti Ibrahim yang tak bole terima perbuatan Ibrahim. Kita hanya menyampai, mereka yang tak nak terima, biarkan mereka . Kekufuran mereka tidak mengurangkan aqidah dan keyakinan kita.
Ulasan
Ada dua asas utama dalam beragama iaitu aqidah dan syariat. Aqidah merupakan keyakinan yang tertanam kukuh dalam diri seseorang yang akan memandu segala perlakuan hariannya. Syariat pula melibatkan tindak-tanduk seharian melibatkan peraturan kehidupan.
Umat hari ini selalu memusatkan perbahasan pada perkara syariat sebelum persoalan aqidah. Mereka runsing dengan pertikaian orang bukan Islam terhadap syariat Allah. Malah mereka juga kadang-kadang terpengaruh dengan pelbagai tohmahan dan pertikaian orang bukan Islam terhadap syariat ini. Sebenarnya kekeliruan yang ditimbulkan oleh bukan Islam tentang syariat Islam tidak akan berakhir sehingga kiamat kerana pokok pangkalnya ialah mereka tidak beriman dengan aqidah Islam. Aqidah Islam menyatakan : Kami beriman dengan Allah dan apa yang datang daripada Allah
آمن الرسول بما أنزل إليه من ربه والمؤمنون كل آمن بالله وملائكته وكتبه ورسله Maksudnya: Telah beriman Rasul itu dengan apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang-orang beriman (beriman). Semuanya beriman dengan Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya.”
Ibrahim `alaihissalam dan juga umat beriman sepanjang zaman beriman bahawa alam ini adalah ciptaan dan dimiliki oleh Allah. Diri manusia sebagai hamba yang dicipta –tak ada pilihan- melainkan perlu patuh dan tunduk kepada segala perintahNYa kerana hidup dan mati ditentukanNya dan akan kembali kepadaNya untuk ditentukan kehidupan bahagian atau celaka selepas alam kematian. Dirinya adalah milik mutlaq TuhanNya.Nyawa adalah milik TuhanNya. Setiap detik yang berlalu kita berhutang nyawa denganNya. Makan dan minum adalah diberi olehNya. Sakit dan sembuh ditentukanNYa. Ibrahim berkata: فإذا مرضت فهو يشفين Maksudnya: “Apabila saya sakit Dia yang menyembuhkanku”
Segala jasad dan badannya adalah milik TuhanNya. Dia lebih berhak terhadap diri manusia ini. Dia juga yang berhak menetapkan segala syariat yang perlu dikenakan kepada hambaNya. Umat manusia tak ada pilihan melainkan menyerah diri kepadaNya. Penyerahan diri inilah intipati pada makna “Islam”. Islam ertinya menyerah diri kepada Allah.
Rentetan daripada aqidah yang tersemat kukuh ini, maka seorang mukmin akan menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Allah. Inilah perisytiharan Nabi Ibrahim dan umat beriman: وجهت وجهي للذي فطر السموات والأرض حنيفا مسلما وما أنا من المشركين Maksudnya: “Saya hadapkan diriku kepada Yang mencipta langit-langit dan bumi dalam keadaan suci tulus, menyerah diri. Dan saya tidak tergolong di kalangan orang yang menyengutukan (Allah).”
Masalah umat ini adalah pada keyakinan dan aqidah mereka!! Marilah kita kukuhkan aqidah dan keyakinan ini dalam diri anak-anak kita dan umat ini.
Kita juga selalu rungsing dengan umat yang tidak beriman dengan aqidah ini walaupun telah diberikan pelbagai penjelasan yang konkrit. Keadaan ini juga dirasai oleh Nabi saw. Baginda mengharapkan agar seluruh umatnya beriman dengan baginda. Namun Allah menegaskan: إنك لا تهدي من أحببت ولكن الله يهدي من يشاء Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak memberi hidayat kepada orang yang kamu sayang tetapi Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia suka.”
وما علينا إلا البلاغ المبين Maksudnya: “Dan tiada kewajipan kita melainkan penyampaian yang jelas.”
Sampaikan dakwah Islam kepada manusia dengan jelas dan terang. Kita bersyukur dengan mereka yang menerima. Kita menyerah kepada Allah kepada mereka yang tidak bersedia untuk percaya. Kita katakan kepada mereka yang menolak: فمن شاء فليؤمن ومن شاء فليكفر Maksudnya: “Maka sesiapa yang nak maka silalah beriman. Saya yang nak, maka silalah kufur/engkar.” |
posted by admin @ 10:36 AM   |
|
|
Bengkel Penyelidikan Pensyarah FPI, UKM di Lumut, Perak |
|
Artikel-artikel agama dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dibaca oleh ramai orang Islam dengan pelbagai latar belakang pendidikan mereka. Isi kandungannya tentu boleh mempengaruhi kefahaman masyarakat Islam terhadap kefahaman dan amalan beragama mereka. Antara persoalan yang timbul ialah: 1) Siapakah yang menilai ketepatan maklumat yang disampaikan oleh penulisnya. 2) siapakah yang akan mengambil tanggungjawab memperbetulkan salahfaham yang terdapat dalam artikel tersebut sekiranya ada? 3) Apakah hadis-hadis sahih yang disertakan dalam artikel tersebut difahami maksud dan maknanya dengan cara yang betul dengan rujukan yang tepat? Ini antara persoalan yang timbul di samping banyak lagi isu-isu lain seperti penggunaan hadis palsu dan sebagainya. Persoalan ini ditimbulkan dalam kumpulan bengkel saya dalam sesi bengkel penyelidik yang dihadiri oleh para pensyarah pengajian Islam, FPI, UKM di Lumut, Perak tadi. Saya terpaksa memendekkan lawatan saya ke Kemboja dan segera kembali ke Malaysia semalam agar tidak terlepas peluang menghadiri bengkel penyelidikan ini yang berlansung bermula 22-24 Dis 07 di Lumut, Perak. Rentetan daripada perbahsan di atas timbul cadangan penyelidikan bertajuk lebih kurang: Analisa Salahfaham Terhadap Maksud Hadis-Hadis Sahih Dalam Artikel-Artikel Agama Dalam Akhbar Utusan dan Berita Harian. Cadangan ini akan dipohon menerusi Geran Penyelidikan yang disediakan di bawah UKM insyallah. Ustaz Fadhlan telah diamanahkan untuk mengetuai projek penyelidikan ini memandangkan beliau sendiri belum mengetuai sebarang projek penyelidikan dengan saya sendiri sebagai salah seorang anggotanya insyaAllah. Tentu banyak manfaat yang boleh diambil daripada kajian ini untuk umat ini yang sememangnya sedang ketandusan ilmu dan amal dalam kehidupan seharian. Saya sendiri telah memohon geran penyelidikan untuk satu kajian selama 2 tahun bertajuk: Membina Kaedah Penterjemahan Makna Gaya Bahasa al-Qur'an ke Dalam Bahasa Melayu. Mudah-mudahan diterima oleh Universiti. Doakan saya....Allahumma Aamin. |
posted by admin @ 12:52 AM   |
|
|
|

KALAM MUQODDIMAH |
web ini adalah kesinambungan daripada laman web www.darulfuqaha.com yang juga
dikendalikan oleh al-Ustaz Mohd Khairuddin at-Takiri memuatkan rencana, artikel dan coretan peribadi dan pandangan
al-Ustaz terhadap isu-isu semasa yang timbul dalam masyarakat Islam menurut perpektif Islam.
|
IKIM.FM |
Bersama Ustaz Dr. Takiri setiap Isnin di IKIM jam 2.30 ptg
|
PERKENALAN |
Name: USTAZ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Home:
MAKLUMAT:
AL-USTAZ MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI, Pendakwah, Pendidik & Ahli perniagaan sepenuh masa. Bekas Pensyarah Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM (meletakkan jawatan Ogos 2008)
Berkelulusan B.A dan Master Bahasa & Kesusasteraan Arab di Universiti of Jordan dan Aal Bayt Univ, Jordan dan Phd Pengajian Islam di UKM.
KELAHIRAN
Dilahirkan di Kg Seberang Takir, K. Trg pada 1973. Anak sulong daripada 16 orang adik-beradik.
PENDIDIKAN
Pendidikan menengah awal di Sek. Men Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, K. Trg pada tahun 1986. Setelah mendapat
keputusan cemerlang dalam SRP pada tahun 1988, mendapat tawaran ke Kolej Islam Kelang. Namun hati lebih terpaut
untuk memasuki aliran Thanawi yang menggunakan bahasa Arab sepenuhnya di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin, K. Trg. Trg yang merupakan sekolah agama terbaik
menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik sekolah-sekolah agama di Terengganu. Namun, pengajian di aliran Thanawi tak sempat
diselesaikan kerana setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang diambil secara persendirian pada tahun 1990,
hati lebih berminat untuk segera ke luar negara menuntut ilmu. Justeru, tawaran untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1992
dengan biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia ke Universiti of Jordan diterima.
Alhamdulillah, berjaya mendapat Bachelor
dengan kepujian di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Univ. of Jordan pada tahun 1996. Seterusnya pengajian di peringkat Master
diteruskan dan berjaya mendapat Master di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Aal al-Bayt University, Mafraq,Jordan pada tahun 2000. Tajuk tesis Master ialah
Signifikan partikel setara dan genetif di sisi sarjana sintaksis dan sarjana Usul Fiqh serta pengaruhnya terhadap Kefahaman Teks Syara`
Seterusnya Phd Pengajian Islam di Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM dengan tesis bertajuk:
"Retorik Partikel Waw Dalam al-Qur'an Dan Pengaruhnya Terhadap Penterjemahan Makna al-Qur'an ke Dalam Bahasa Melayu."
PENGALAMAN BERTUGAS:
Pada tahun 1999 diterima bertugas sebagai guru bahasa di CELPAD, UIA. Setelah mendapat Master di awal 2000 dilantik sebagai Pensyarah Bahasa.
Mendapat tawaran sebagai pensyarah Bahasa di UITM pada tahun 2002 namun ditolak kerana hati lebih terpikat dengan UKM setelah diadakan beberapa kali istikharah.
Seterusnya bertugas sebagai Tutor pada tahun 2002 seterusnya Pensyarah bermula pada tahun 2006 di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM. pada Ogos 2008 meletakkan jawatan sebagai Pensyarah untuk memfokuskan kerja-kerja dakwah, pendidikan dan perniagaan.
TUGAS SEKARANG
Sekarang bertugas sebagai Pendakwah, Pendidik, Penulis, Aktivis Sosial dan Ahli Perniagaan sepenuh masa di samping sebagai Presiden dan Pensyarah di Kolej Islam Fuqaha
AKTIVITI PENGLIBATAN
Pengerusi Eksekutif & Pengasas Darul Fuqaha, Pengerusi Eksekutif&
Pengasas Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Presiden dan Pengasas Kolej Islam Fuqaha,Pengerusi Eksekutif dan Pengasas SRIP Tahfiz Kajang dan ALP SRIP Tahfiz K. Trg,
Pengasas dan Presiden Nadwah Ilmuan Muslim, Exco Persatuan Ulama Malaysia, Pengerusi Sekreteriat Penerbit & Pengedar Buku
Islam Malaysia (SPEEDI) dan Ahli Majlis Buku Islam Malaysia. Beliau cergas sebagai Penceramah (di masjid, tv dan radio), Penulis
(buku, artikel dan makalah), Penerbit (buku-buku Islam, Penggiat Sosial dan Pengamal Perubatan Islam.
PENULISAN BUKU
Antara buku beliau bertajuk:
1) Hukum Berurusniaga Dengan Yahudi Dunia
2) Hak-hak Bukan Islam Dalam Negara Islam
3) Adab-Adab Berdoa Dalam Islam
4) Terjemahan Tafsri Munir Juzuk 30
5) Hukum Wanita Menjadi Imam Solat Jumaat; Kontroversi Solat Jumaat Dr Amina Wadud
6) Perspektif Islam
7) Intipan Khalwat Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah; Menilai Pandangan Kontroversi Mufti Perlis
8)Hiburan & Gurau Senda Menurut Islam
PERHUBUNGAN
saya boleh dihubungi di
talian 013 3621236/ 0133890000 email attakiri@ukm.my / attakri@yahoo.com. Artikel dan tulisan beliau boleh dilayari di http://www.darulfuqaha.com & www.ceramahkhairuddin.com
baca lagi..
|
MUTIARA KATA TAKIRI |
Hiduplah untuk ISLAM pasti ALLAH limpahkan anda dengan kegembiraan dan ketenangan
|
Previous Post |
|
Archives |
|
KALENDAR |
|
SOAL-JAWAB HUKUM |
SEBARANG PERTANYAAN BERKENAAN HUKUM ATAU INGINKAN SEBARANG PERBINCANGAN MENGENAI SESUATU ISU,
PARA PENGUNJUNG DIMINTA UNTUK MEMASUKI FORUM YANG DISEDIAKAN. ANDA HANYA PERLU REGISTER
UNTUK MEMBUAT SEBARANG POSTING
|
Powered by |
 |
|