HUKUM MENGAMBIL UPAH RAWATAN PESAKIT
Dalam hadis Sahih menceritakan kisah serombongan sahabat nabi saw bermusafir hingga sampai di sebuah perkampungan. Mereka meminta untuk menjadi tetamu penduduk kampung, namun orang kampung tidak bersedia. Mereka lalu berkhemah di luar kampung. Ditakdirkan oleh Allah penghulu kampung dipatuk ular. Satu riwayat menyebut terkena gangguan jin. Mereka lalu datang meminta pertolongan sahabat untuk merawat sakit tersebut. Seorang Sahabat menyahut bersedia untuk berjampi. Namun beliau mensyaratkan agar dibayar upah sebanyak 30 ekor kambing. Apabila orang kampung bersetuju maka beliau pun merawat dengan membacakan surah al-Fatihah. Lelaki itu lantas sembuh. Sahabat tersebut diberikan kambing 30 ekor yang dijanjikan. Sahabat tersebut ingin mengagihkan hasil yang diperolehinya daripada merawat tetapi para Sahabat menolak sehinggalah dijelaskan hukumnya oleh nabi saw. Apabila tiba di Madinah Nabi saw menyetujui apa yang dilakukan oleh lelaki tersebut. Baginda bersabda: bagaimana kamu tahu bahawa surah Fatihah itu adalah satu jampi? Agihkan kambing tersebut dan berikan kepadaku satu bahagian. Hadis ini menjelaskan hukum keharusan mengambil upah untuk rawatan sakit. Dalam kes di atas hanya dengan membaca Fatihah untuk rawatan sakit patukan ular atau gangguan jin, upah yang dikenakan ialah 30 ekor kambing. Jika dinilai pada hari ini tentunya ia bernilai lebih daripada RM 15 ribu (30 ekor x RM 500). Justeru itu tidak salah dalam Islam mengenakan bayaran rawatan kepada pesakit yang terkena gangguan jin atau atau patukan ular dan sebagainya sebanyak 4 ribu atau lebih sekiranya dipersetujui terlebih dahulu oleh pesakit. Bayaran tersebut adalah halal dari sudut syara'. Malah menjadi haram bagi pesakit enggan membayar upah tersebut setelah mempersetujuinya terlebih dahulu. Berbeza sekiranya tiada persetujuan awal. Pesakit boleh memberi hadiah kepada perawat berapa sahaja kadar yang ingin diberikan. Pesakit yang tidak bersetuju dengan kadar bayaran rawatan mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan daripada perawat lain, namun tidak berhak mempertikaikan jumlah upah yang diminta kerana ia halal pada hukum syara'. Saya selalunya menolak untuk merawat pesakit kerana kesuntukan masa dengan pelbagai program ceramah dan tugasan lain. Namun, sekiranya berkali-kali diminta dan dirayu, saya akan peruntukkan sedikit masa dalam celah-celah kesibukan dan kepenatan. Dalam memberikan rawatan bagi pesakit gangguan jin dan sihir selalunya saya tidak meletakkan bayaran tertentu. saya serahkan kepada kebijaksanaan pesakit menilai masa yang saya peruntukkan untuk mereka selama beberapa jam hingga terpaksa mengorbankan banyak tugasan lain. HADIAH (BUKANNYA Bayaran) yang biasanya diberikan ialah rm10-rm50. Tak ramai yang memberikan ratusan ringgit atau ribuan ringgit walaupun yang datang berkereta mewah dan bergaji belasan ribu. Walaupun mengaku sebelumnya telah menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik atau bomoh-bomoh tertentu. Dalam sebulan terakhir ini saya lebih kerap menerima pesakit-pesakit yang agak kronik. Ada beberapa kes-kes tertentu dengan persetujuan pesakit, ada BAYARAN (bukan hadiah) yang disyaratkan terlebih dahulu. Bayaran itu adalah hak saya dari sudut syara' yang tidak berhak dipertikaikan. Sekiranya tidak dipersetujui pesakit boleh mendapatkan rawatan daripada orang lain. Dalam kes-kes tersebut beberapa pesakit dengan rela hati memberikan sejumlah bayaran yang banyak melebihi daripada apa yang diminta kerana mereka merasai nikmat kesihatan setelah sakit yang panjang dengan izin Allah. Ada juga yang saya syaratkan agar bersedekah kepada anak yatim saya. Ada yang saya minta untuk bersedekah makanan berbuka puasa dengan nilai rm 1 ribu atau lebih. Dalam kes yang dirujuk oleh penulis dlm shoutbox saya harap penulisnya dapat menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan di talian 013 3621236. Apakah benar bayaran dikenakan sebanyak 4 ribu? Berapa harikah rawatan tersebut. Bayaran untuk berapa orang yang sakit? Adakah dia dipaksa membayar selepas rawatan tanpa ada persetujuan? Atau dia bersetuju terlebih dahulu? Sekiranya bayaran telah dipersetujui adakah wajar mengungkit bayaran setelah setelah mendapatkan rawatan sedangkan bayaran itu adalah halal dari sudut syara'. Namun, kerana kejahilan pesakit tentang hukum dan kejahilan penulis shoutbox tentang hukum rawatan menyebabkan timbul sangkaan tidak baik. Kejahilan adalah punca bagi segala kerosakan. Bukan salah perawat tapi salah pesakit yang jahil hukum Islam. Adakah penulis shoutbox adalah orang yang terlibat membayar 4 ribu? atau sekadar mendengar berita. Sangat tidak wajar menulis sebegitu dalam shoutbox hingga menimbulkan sangkaan tidak baik kepada orang lain. Harap lebih bertanggungjawab. Inilah yang biasa berlaku kepada pesakit. Ketika sakit merayu-rayu meminta waktu dan tarikh untuk mendapatkan rawatan. Berpuluh sms dihantar meminta bantuan. Apabila bantuan rawatan diberikan dengan mencelah-celah waktu disebabkan kesibukan yang banyak, dengan segala kepenatan dan keletihan ditanggung untuk membantu seorang insan yang kesempitan lalu kesihatan diberikan Allah, sangkaan jahat pula dipalitkan kepada ustaz yang memberikan rawatan. Ustaz Khairuddin. |