|
Wajarkah Mengecam Tahun Masehi |
Wednesday, November 23, 2011 |
Wajarkah Mengecam Penggunaan Tahun Masehi?
Tahun Hijri dirumus berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi dalam tempoh setahun. Ia lebih dikenali sebelumnya sebagai Tahun Bulan. Manakala tahun Masehi dirumus berdasarkan pergerakan antara bumi dan matahari. Ia dikenali juga sebagai Tahun Matahari. Pergerakan bulan, bumi dan matahari adalah ciptaan dan di bawah pentadbiran Allah.
Hikmahnya agar manusia boleh membuat penentuan tahun. Allah berfirman bermaksud:”Dialah yang menjadikan matahri bersinar dan bulan bercahaya dan Dia menetapkan untuknya (bulan atau bulan dan matahari) beberapa kedudukan agar kamu mengetahui bilangan tahun dan pengiraan.” (Yunus: 5)
Tahun Hijri dan Masehi diisyaratkan oleh Allah dalam al-Qur’an apabila bercerita tentang pemuda dalam gua yang dimatikan oleh Allah beberapa lama sebelum dihidupkan kembali. Allah berfirman: َوَلبِثُوْا فِيْ كَهْفِهِمْ ثَلاَثَ مِائَةٍ سِنِيْنَ وَازْدَادُوْا تِسْعًا Maksudnya: “Dan mereka berada dalam gua mereka selama 300 tahun dan mereka tambah lagi 9 tahun.” Menurut Ibn Kathir, 300 tahun itu sekiranya dikira menggunakan tahun Masehi, manakala 309 tahun sekiranya dikira berdasarkan tahun hijri.
Tahun Masehi masyhur digunakan oleh Tahun Masehi digunakan secara meluas oleh Kerajaan Rom di zaman turunnya al-Qur’an. Manakala bulan-bulan yang dikenali kemudiannya di zaman Umar sebagai tahun hijri digunakan oleh orang-orang Arab. Justeru, al-Qur’an merujuk kepada penggunaan kedua-dua jenis calendar.Setahun berdasarkan kiraan hijri ialah 354 hari, 8 jam, 48 minit dan 36 saat.
Setahun berdasarkan tahun Masehi pula ialah 365 hari 6 jam 9 minit dan 9.5 saat. Justeru, perbezaan antara setahun Hijri dan Masehi ialah lebih kurang 11 hari atau lebih tepatnya 10 hari 21 jam dan 1 minit. Dengan itu perbezaan antara 100 tahun ialah 3 tahun 24 hari 11 jam dan 6 minit. Manakala perbezaan antara 300 tahun hijri dengan Masehi ialah 9 tahun 73 hari 9 jam dan 48 minit. Sekiranya diberi pilihan antara dua jenis kalendar tentulah sebagai Muslim kita mengutamakan tahun hijri kerana banyak perlakuan ibadah adalah berdasarkan tahun hijri.
Namun, ia tidak bererti kita perlu mengecam penggunaan tahun masehi. Apatah lagi, yang berlaku hari ini ialah penggunaan tahun masehi digunakan secara meluas berbanding tahun hijri. Menolaknya tentu sahaja menimbulkan kesukaran pengurusan dengan negara-negara luar yang menggunakannya. Yang perlu dibuat ialah ia digunakan seiring. Tapi yang berlaku ialah penggunaan tahun hijri hampir lenyap dalam pemikiran kita seharian. Jika ditanya hari ini berapa haribulan hijri? Kita tentu menjawab; entah..tak pasti pulak....
artikel ini ditulis oleh saya beberapa tahun lalu dan disiarkan di dalam web www.darulfuqaha.com |
posted by admin @ 1:47 PM |
|
|
Dana Wakaf Pembangunan Asrama Darul Fuqaha |
|
Sumbangan wakaf dialau-alukan. |
posted by admin @ 11:54 AM |
|
|
Konsep "Ribat" Dalam Islam |
|
Konsep Ribat fi Sabilillah
Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah Muwatta, Ribat pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki. Seterusnya ia digunakan dengan maksud mengikat kuda sebagai persiapan jihad dan mewakafkan diri menjaga perbatasan negara Islam.
Ribat di dalam alQuran dan al-Hadis merujukmkepada 3 maksud seperti berikut:
Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah. Menurut pengarang al-Muntaqa, maksud mengikat kuda di jalan Allah ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. Ia merupakan salah satu bentuk kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab). Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia mendapat pahala jihad. Dalilnya ialah firman Allah Taala: وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ [ الأنفال : 60 ]. Maksudnya: Dan persiapkanlah bagi menghadapi mereka apa sahaja yang kamu mampu sama ada kekuatan dan juga kuda-kuda yang terikat, yang boleh kamu gunakannya untuk menggerunkan musuh Allah dan juga musuh kamu.”
Konsep Ribat ini termasuk dalam sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya: مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (البقرة: 261 ) Maksudnya: Bandingan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 126)
Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan
Ribat ini bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan Negara Islam. Menurut Ibn Hajar al-`Asqalani, Ribat bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir untuk menjaga orang islam daripada musuh.
Ribat ini dirujuk oleh firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu, sama-samalah bersabar (berhadapan dengan musuh), lakukanlah ribat dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.
Kelebihan Ribat ini disebut dalam banyak hadis Nabi saw antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl bin Sa`ad al-Sa`idi r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya.
Muslim meriwayatkan daripada Salman al-Farisi r.a katanya, saya mendengar Rasulullah saw bersabda: رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ Maksudnya: Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezkinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur).
Dalam riwayat Tirmizi daripada Salman al-Farisi menyebut Rasulullah saw bersabda: رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ وَرُبَّمَا قَالَ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَمَنْ مَاتَ فِيهِ وُقِيَ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَنُمِّيَ لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal –mungkin beliau berkata – lebih baik – berbanding puasa dan qiyam selama sebulan. Dan sesiapa yang mati dalam keadaan Ribat terselamat daripada ujian kubur dan dicambahkan untuknya amalannya sehingga ke hari Qiamat.
Nasaei pula meriwayatkan daripada Uthman bin Affan r.a bahawa Nabi saw bersabda: إِنَّ رِبَاطَ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ يَوْمٍ مِمَّا سِوَاهُ فَلْيُرَابِطْ امْرُؤٌ حَيْثُ شَاءَ Maksudnya: Sesungguhnya Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal daripada seribu hari selainnya. Maka hendaklah melakukan ribat seseorang itu di mana sahaja dia mahu.
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Makhul r.a bahawa Nabi saw bersabda: تمام الرباط أربعون يوما Maksudnya: Kesempurnaan Ribat ialah 40 hari.
Ketiga : Ribat Dalam Ibadah
Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda: أَلا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَذَلِكُمْ الرِّبَاطُ Maksudnya: Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wudu’ di waktu sukar, membanyakkan langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan solat. Semua itu adalah Ribat.
Menurut Ibn Kathir, Ribat atau Murabatah ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif mentafsirkannya sebagai menanti waktu solat selepas dikerjakan satu solat di masjid.
Menurut Imam Nawawi, Ribat asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa nafsu.
Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta
Sirah para sahabat menunjukkan kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan harta antaranya. Ketika berlangsungnya peperangan Tabuk, Othman yang sudah bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan semua unta berjumlah beserta dengan muatan yang berada di atas untuk persiapan perang Menurut hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi daripada Abd Rahman bin Hubab al-Sullami bahawa Uthman telaah menyediakan 300 ekor unta. Menurut riwayat Abd Rahman bin Samurah, Uthman telah menyediakan 1000 dinar. Riwayat yang lemah pula oleh Ibn `Adii daripada Huzaifah menyebut 10,000 dinar. Menurut Ibn Hajar barangkali ia bermaksud 10,000 dirham yang nilainya menyamai 1000 dinar ketika itu. Abu Bakar menyerahkan semua hartanya bernilai 4000 dirham. Umar pula memberikan separuh harta. Abd Rahman menyediakan separuh harta sebanyak 2000 dirham. Sahabat yang tidak berkemampuan seperti Abu Uqail pula menyediakan setengah gantang kurma. Abu Khaithamah mempunyai 2 gantang kurma; separuh untuk keluarga dan separuh disediakan untuk perang.
RUJUKAN Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, http://www.al-islam.com Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-`Azim, Dar Tayyibah, 1420/1999. Al-Muntaqaa syarh al-Muwatta’, http://www.al-islam.com Musannaf Ibn Abi Syaibah Musnad Ahmad. http://www.al-islam.com Nawawi, Syarah Sahih Muslim, http://www.al-islam.com Sahih Bukhari Sahih Muslim Sunan Tirmizi Sunan Nasaei |
posted by admin @ 10:46 AM |
|
|
Kuliah Mingguan Pagi Jumaat |
Tuesday, November 22, 2011 |
Jadual kuliah Dr Khairuddin minggu ini Jumaat 25 hb : Kuliah pgi Jumaat di Seb Takir 9.pg- 11pg Jumaat 25 hb : Kuliah di Kok Lanas, Kelantan, 9 mlm,; Ribat Fi Sabilillah Sabtu 26hb: Ceramah Maal Hijrah, Surau Tmn Melor, Teluk Intan 9 pg. Sabtu 26 hb: Ceramah Maal Hijrah, 7-9 mlm , Taman Samudera, Batu Caver, Selangor Ahad 27 hb: Forum Maal Hijrah, Masjid Hasanah, Bangi, Selangor Isnin 28 hb : Kuliah Subuh, Masjid Fatimah Zahra', Tmn Kosas, Ampang Selasa 29 hb: Ceramah Perdana, UIA, Kuantan |
posted by admin @ 7:29 PM |
|
|
|
KALAM MUQODDIMAH |
web ini adalah kesinambungan daripada laman web www.darulfuqaha.com yang juga
dikendalikan oleh al-Ustaz Mohd Khairuddin at-Takiri memuatkan rencana, artikel dan coretan peribadi dan pandangan
al-Ustaz terhadap isu-isu semasa yang timbul dalam masyarakat Islam menurut perpektif Islam.
|
IKIM.FM |
Bersama Ustaz Dr. Takiri setiap Isnin di IKIM jam 2.30 ptg
|
PERKENALAN |
Name: USTAZ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Home:
MAKLUMAT:
AL-USTAZ MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI, Pendakwah, Pendidik & Ahli perniagaan sepenuh masa. Bekas Pensyarah Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM (meletakkan jawatan Ogos 2008)
Berkelulusan B.A dan Master Bahasa & Kesusasteraan Arab di Universiti of Jordan dan Aal Bayt Univ, Jordan dan Phd Pengajian Islam di UKM.
KELAHIRAN
Dilahirkan di Kg Seberang Takir, K. Trg pada 1973. Anak sulong daripada 16 orang adik-beradik.
PENDIDIKAN
Pendidikan menengah awal di Sek. Men Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, K. Trg pada tahun 1986. Setelah mendapat
keputusan cemerlang dalam SRP pada tahun 1988, mendapat tawaran ke Kolej Islam Kelang. Namun hati lebih terpaut
untuk memasuki aliran Thanawi yang menggunakan bahasa Arab sepenuhnya di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin, K. Trg. Trg yang merupakan sekolah agama terbaik
menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik sekolah-sekolah agama di Terengganu. Namun, pengajian di aliran Thanawi tak sempat
diselesaikan kerana setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang diambil secara persendirian pada tahun 1990,
hati lebih berminat untuk segera ke luar negara menuntut ilmu. Justeru, tawaran untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1992
dengan biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia ke Universiti of Jordan diterima.
Alhamdulillah, berjaya mendapat Bachelor
dengan kepujian di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Univ. of Jordan pada tahun 1996. Seterusnya pengajian di peringkat Master
diteruskan dan berjaya mendapat Master di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Aal al-Bayt University, Mafraq,Jordan pada tahun 2000. Tajuk tesis Master ialah
Signifikan partikel setara dan genetif di sisi sarjana sintaksis dan sarjana Usul Fiqh serta pengaruhnya terhadap Kefahaman Teks Syara`
Seterusnya Phd Pengajian Islam di Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM dengan tesis bertajuk:
"Retorik Partikel Waw Dalam al-Qur'an Dan Pengaruhnya Terhadap Penterjemahan Makna al-Qur'an ke Dalam Bahasa Melayu."
PENGALAMAN BERTUGAS:
Pada tahun 1999 diterima bertugas sebagai guru bahasa di CELPAD, UIA. Setelah mendapat Master di awal 2000 dilantik sebagai Pensyarah Bahasa.
Mendapat tawaran sebagai pensyarah Bahasa di UITM pada tahun 2002 namun ditolak kerana hati lebih terpikat dengan UKM setelah diadakan beberapa kali istikharah.
Seterusnya bertugas sebagai Tutor pada tahun 2002 seterusnya Pensyarah bermula pada tahun 2006 di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM. pada Ogos 2008 meletakkan jawatan sebagai Pensyarah untuk memfokuskan kerja-kerja dakwah, pendidikan dan perniagaan.
TUGAS SEKARANG
Sekarang bertugas sebagai Pendakwah, Pendidik, Penulis, Aktivis Sosial dan Ahli Perniagaan sepenuh masa di samping sebagai Presiden dan Pensyarah di Kolej Islam Fuqaha
AKTIVITI PENGLIBATAN
Pengerusi Eksekutif & Pengasas Darul Fuqaha, Pengerusi Eksekutif&
Pengasas Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Presiden dan Pengasas Kolej Islam Fuqaha,Pengerusi Eksekutif dan Pengasas SRIP Tahfiz Kajang dan ALP SRIP Tahfiz K. Trg,
Pengasas dan Presiden Nadwah Ilmuan Muslim, Exco Persatuan Ulama Malaysia, Pengerusi Sekreteriat Penerbit & Pengedar Buku
Islam Malaysia (SPEEDI) dan Ahli Majlis Buku Islam Malaysia. Beliau cergas sebagai Penceramah (di masjid, tv dan radio), Penulis
(buku, artikel dan makalah), Penerbit (buku-buku Islam, Penggiat Sosial dan Pengamal Perubatan Islam.
PENULISAN BUKU
Antara buku beliau bertajuk:
1) Hukum Berurusniaga Dengan Yahudi Dunia
2) Hak-hak Bukan Islam Dalam Negara Islam
3) Adab-Adab Berdoa Dalam Islam
4) Terjemahan Tafsri Munir Juzuk 30
5) Hukum Wanita Menjadi Imam Solat Jumaat; Kontroversi Solat Jumaat Dr Amina Wadud
6) Perspektif Islam
7) Intipan Khalwat Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah; Menilai Pandangan Kontroversi Mufti Perlis
8)Hiburan & Gurau Senda Menurut Islam
PERHUBUNGAN
saya boleh dihubungi di
talian 013 3621236/ 0133890000 email attakiri@ukm.my / attakri@yahoo.com. Artikel dan tulisan beliau boleh dilayari di http://www.darulfuqaha.com & www.ceramahkhairuddin.com
baca lagi..
|
MUTIARA KATA TAKIRI |
Hiduplah untuk ISLAM pasti ALLAH limpahkan anda dengan kegembiraan dan ketenangan
|
Previous Post |
|
Archives |
|
KALENDAR |
|
SOAL-JAWAB HUKUM |
SEBARANG PERTANYAAN BERKENAAN HUKUM ATAU INGINKAN SEBARANG PERBINCANGAN MENGENAI SESUATU ISU,
PARA PENGUNJUNG DIMINTA UNTUK MEMASUKI FORUM YANG DISEDIAKAN. ANDA HANYA PERLU REGISTER
UNTUK MEMBUAT SEBARANG POSTING
|
Powered by |
|
|