 |
Korban - Petikan Temuramah Dengan Wartawan Utusan Malaysia |
|
 Soalan;
1. Alhamdulillah penglibatan masyarakat Islam di negara ini dalam ibadah korban meningkat dari setahun ke setahun melihat kepada jumlah haiwan yang dikorbankan sama ada di masjid mahupun surau. Mungkin boleh Ustaz jelaskan dari sudut pandangan peribadi Ustaz sebagai seorang tokoh agama, apakah penyebab kepada trend positif ini? (Contohnya; atas sebab kesedaran dan ada sebab-sebab tambahan lain)
Ibadah korban merupakan sebahagian ibadah yang sangat digalakkan pada hari raya korban iaitu 10 zulhijjah dan juga 3 hari tasyrik 11,12 dan 13 zulhijjah sebagaimana sabit dalam hadis riwayat Tirmizi; "tiada amalan yang dilakukan oleh seorang anak Adam pada hari raya korban yang lebih dicintai oleh Allah berbanding menumpahkan darah.".
Peningkatan amalan islam di kalangan masyarakat berlaku apabila usaha memberikan kefahaman islam semakin digiatkan. Apabila masyarakat makin memahami islam secara automatic amalan-amalan islam semakin melihatkan peningkatannya.
Oleh itu bagi saya peningkatan amalan korban di kalangan masyarakat adalah tanda positif bahawa usaha dakwah dan penyebaran ilmu islam telah semakin meningkat di Negara kita ini. Hari ini kita melihat di Lembah Kelang sendiri usaha-usaha dakwah berkembang pesat. Surau-surau dan masjid hidup dengan kuliah-kuliah ilmu. Sudah tentu ia memberi kesan kepada peningkatan amalan islam termasuk ibadah korban. Kepentingan melakukan ibadah korban pula bukan hanya dibicarakan di surau masjid sahaja malah media pula semakin berperanan memberikan kesedaran. Sebagai contoh radio IKIM yang diminati oleh sebahagian besar umat Islam di Malaysia dilihat berperanan secara aktif mempromosikan kesedaran tentang kepentingan ibadah korban.
Di media massa bercetak pula banyak syarikat melakukan promosi ibadah korban samada di laksanakan di Negara sendiri atau di luar Negara yang kebanyakan umat islamnya miskin seperti kemboja, Filipina, Thailand , Bangladesh dan lain-lain. Semua itu bagi saya menyumbang kepada kesedaran ini.
Jawatankuasa masjid juga bersungguh-sungguh mempromosi kelebihan ibadah korban terutamanya pengumuman yang dibuat di hari Jumaat. Kain rentang dan sepanduk yang mempromosi ibadah korban daripada jawatankuasa masjid juga dapat dilihat di sana-sini. Ini semua menyumbang kepada kesedaran umat;
ringkasnya amalan islam mesti dipromosikan. Apabila promosi dibuat peningkatan amalan di kalangan ummat akan berlaku. Kerana itulah Allah berfirman dalam surah al-haj ayat 27 mengarahkan Ibrahim dengan firman-Nya bermaksud "dan isytiharkanlah kepada orang ramai melakukan ibadah haji…" ayat. Ertinya Allah mengarahkan baginda Ibrahim untuk membuat "perisytiharan". Itu merupakan satu promosi ibadat.
2. Ada juga segelintir pihak yang mengatakan peningkatan ini adalah kerana ada antara peserta yang menyertai itu, nampak seperti mahu menunjuk-nunjuk. Apa pandangan Ustaz? Apakah hukum dari segi Islam, jika sesuatu ibadat itu dibuat kerana niat untuk membangga atau menunjuk-nunjuk?
Allah berfirman dalam surah al-Haj ayat 34 bermaksud: 'Tidak akan mencapai Allah daging-daging (ternakan yang disembelih) dan darah-darahnya tetapi yang mencapai Allah ialah ketaqwaan daripada kamu." Ayat ini memperingatkan kita tentang kepentingan membetulkan niat ketika berkorban iaitu demi mendapat keredhaan Allah. Namun perlu difahami bahawa niat merupakan sesuatu yang tersembunyi di dada manusia tidak diketahui oleh manusia lain. Justeru itu ulama Islam menegaskan : "kita menghukum berdasarkan zahir dan Allah yang menguruskan apa yang tersembunyi."
Ertinya kita hanya berhak melihat kepada luaran amalan korban tadi.Apapun niatnya berkorban diserahkan kepada Allah, bukan kerja kita untuk menghukum dan menilainya. Apabila masyarakat islam semakin ramai berkorban dengan menyembelih ternakan kita perlu mentafsirkannya sebagai satu amalan positif petanda peningkatan amalan Islam.
Adapun niat di sebalik setiap ibadah korban tersebut adakah kerana Allah atau kerana makhluk itu kita serahkan kepada hamba yang berkorban dengan Tuhan-Nya. Apa yang penting syiar ibadah seperti korban tetap mesti dilaksanakan sebagai satu syiar ummat tanpa perlu kita mempertikaikan niat disebaliknya. Malah perlu kita faham "meninggalkan satu amalan kerana takut riya' itu merupakan satu riya" seperti ditegaskan oleh para alim ulama dalam karya-karya berkaitan kesucian jiwa.
Kesimpulannya, Kita mengajak masyarakat berkorban dengan melakukan seperti mana tuntutan hukum fiqh. Dalam masa yang sama kita mengajak mereka untuk membetulkan niat berkorban kerana Allah. Niat yang tidak ikhlas kerana Allah tidak menjadi penghalang untuk seseorang itu melakukan ibadah korban kerana persoalan niat dapat dibetulkan secara berterusan. Ibadah korban mesti dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan sunnah muakkadah dan dalam masa yang sama usahakanlah perbetulkan niat kamu!
3. Ustaz, kalau dalam ibadat haji, orang boleh melihat keberkatan amalan ibadah ketika di tanah suci dengan melihat perubahan baik yang dialami selepas kembali ke tanah air. Bagaimana pula dengan perubahan baik yang mungkin boleh dilihat kepada mereka yang melakukan ibadat korban dengan niat yang benar-benar ikhlas kerana Allah SWT?
Persoalan perubahan sikap ke arah kebaikan merupakan sesuatu yang subjektif. Graf iman muslim biasa tidak menaik tanpa turun sepertimana iman para anbiya'. Iman kita bertambah dan berkurang. Ia bertambah apabila melakukan ketaatan dan berkurang apabila melakukan maksiat. Hari ini kita berkorban , ia menambhkan keimanan, esok kita buat maksiat ia menurunkan keimanan. Semalam kita mendapat barakah kerana amalan korban, hari ini kita dicabut barakah kerana melakukan maksiat. Keranaitu amal ketaatan mesti sentiasa diusahakan. Hariini kita berkorban kerana sampai waktu kita diarahkan berkorban, tetapi ada lagi ibadah-ibadah lain yang mesti diteruskan tanpa menunggu waktu tertentu seperti solat sunat, bersedekah, menyambung rahim dan sebagainya.
Apa yang penting lakukanlah ibadah korban sepertimana dituntut. Kemudian berdoalah agar Allah terima korban kita tersebut. Telah menjadi sunnah dalam ibadah untuk kita berdoa "Ya Allah terimalah daripada kami ibadah kami.". Yang pasti kita perlu yakin, Ibadah korban yang kita lakukan pasti mendatangkan "barakah" dalam kehidupan yang bukan hanya pada diri kita malah juga pada diri orang di sekeliling kita. Kita tidak diajar untuk melakukan ibadah kemudian menunggu untuk melihat apa keberkatannya. Tetapi kita disuruh untuk melakukan ibadah dan serahkan segalanya kepada Allah.
Keberkatan boleh datang dan pergi silih berganti bergantung kepada amalan kita sehari-hari. Keberkatan yang berterusan terhasil menerusi amalan ibadah yang berterusan.
4. Sesungguhnya ibadah korban yang dilaksanakan sekarang ini adalah satu simbolik daripada kisah penyembelihan Nabi Ismail oleh bapanya, Nabi Ibrahim. Bagaimana harus kita perjelaskan kepada umat Islam, khususnya generasi pewaris bangsa dan agama akan hikmahnya yang boleh dikaitkan atau releven dengan senario ummah masa kini.
Kisah korban adalah bermula dengan sejarah Ibrahim yang diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih anaknya. Apabila perintah itu hamper dilaksanakan, Allah menebusnya dengan seekor binatang sembelihan sebagai gantinya. Seterusnya ia menjadi sunnah bagi ummat terkemudian. Ia diceritakan dalam surah Saffat ayat 102-108.Cerita ini menggambarkan ketaatan tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim dan ismail kepada Allah. Ini cerita aqidah dan keyakinan. Ibrahim dan Ismail meyakini bahawa Allah yang mencipta dirinya, memberinya nyawa, mengurniakan rezki dan menghidup serta mematikan manusia. Apabila berhadapan dengan perintah Allah manusia tidak ada pilihan selagi dia makan dan minum rezki yang diberikan oleh Allah. Inilah pengjaran cerita pengorbanan Ibrahim; ketaatan mutlaq kepada Allah tanpa bantahan.
Sebahagian umat islam yang lemah keimanannya selalu mempertikaikan perintah Allah yang dilihat tidak lojik kononnya; Amalan Islam tidak diukur dengan lojik ilmu tapi dinilai dengan keimanan. Keimanan bermaksud keyakinan dalam hati bahawa ia merupakan perintah daripada Allah yang mencipta dirinya dan berkuasa ke atas dirinya. Apabila dia meyakini bahawa itu merupakan perintah Allah yang lebih bijak dan pandai daripada dirinya maka dia akan meletakkan sepenuh keyakinan untuk melaksanakan perintah tersebut tanpa bahasa.
Malangnya sebahagian manusia suka menilai terlebih dahulu perintah Allah dengan menggunakan ilmunya yang terhad. Adakah ilmu manusia meliputi apa yang lalu dan mengjangkau apa yang kehadapan? Lojik akal dijadikan ukuran sedangkan lojik merupakan persoalan ilmu. Sesuatu yang tidak lojik pada satu zaman menjadi lojik pada harini kerana perkembangan ilmu manusia. Adakah dia lebih pandai berbanding Allah dalam menilai sesuatu? Adakah dia lebih bijak daripada Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui? Seorang mukmin akan menerima semua perintah Allah tanpa bahas. Seorang yang fasiq akan sentiasa membantah dan mempertikaikan perintah Allah. Tunggulah nanti di hari Akhirat, mampukah dia berhujah di hadapan Allah?
5. Sebagai seorang yang amat rapat dengan anak yatim dan kanak-kanak fakir miskin, sejauhmana Ustaz merasakan amalan korban boleh meningkatkan status sosio ekonomi dan pendidikan golongan fakir miskin.
Agihan daging korban disunatkan untuk dibahagi 3. Sebahagian untuk dimakan oleh pemunya korban,. Sebahagian untuk dihadiahkan kepada orang yang tidak miskin atau orang berkemampuan di kalangan sahabat handai dan rakan taulan. Sebahagian lagi untuk agihan kepada fakir miskin. Hadiah daging korban seumpama ini boleh merapatkan hubungan persaudaraan Islam. Sedekah kepada faqir miskin pula menggembirakan si miskin dan menimbulkan satu perasaan bahawa ada insane yang simpati dengan keadaan kekurangan dirinya. Bagi saya agihan daging korban menjadi satu pembuka hubungan dengan si miskin untuk kita melihat keperluan mereka jangka masa panjang. Sekilo daging tidak mampu memenuhi keperluan si miskin untuk tempoh 365 hari berbaki. Oleh itu tindakan susulan perlu dilakukan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan.
6. Ustaz, boleh tidak berikan beberapa nas bagi menjelaskan bahawa ibadat korban itu mestilah dilakukan dengan ikhlas dan semata-mata kerana Allah SWT.? Daripada nas dan dalil yang diberikan itu, bagaimana kesimpulan daripada Ustaz agar terus berkembang ibadat korban ini demi kepentingan ummah.
Dalam surah al-Haj ayat 34 Allah berfirman bermaksud: "'Tidak akan mencapai Allah daging-daging (ternakan yang disembelih) dan darah-darahnya tetapi yang mencapai Allah ialah ketaqwaan daripada kamu." Ayat menegaskan perlunya membetulkan niat dalam melakukan ibadah korban iaitu semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.
Dalam surah al-maidah ayat 27 Allah menceritakan kisah dua anak adam yang mendekatkan diri kepada dengan satu korban lalu Allah terima korban salah seorang dan ditolak korban seorang lagi. Ertinya tidak semua korban diterima oleh Allah untuk diberikan pahala. Oleh itu marilah kita berusaha melakukan ibadah korban sebagaimana yang ditunut berdasarkan hukum syara' dan ikhlakanlah hati-hati kita dalam melakukannya moga-moga Alah memberi keberkatan kepada harta benda kita insyallagh.
Ustaz Mohd Khairuddin Aman razali at-Takiri
Pengerusi Eksekutif Darul Fuqaha |
posted by admin @ 6:32 PM   |
|
|
|

KALAM MUQODDIMAH |
web ini adalah kesinambungan daripada laman web www.darulfuqaha.com yang juga
dikendalikan oleh al-Ustaz Mohd Khairuddin at-Takiri memuatkan rencana, artikel dan coretan peribadi dan pandangan
al-Ustaz terhadap isu-isu semasa yang timbul dalam masyarakat Islam menurut perpektif Islam.
|
IKIM.FM |
Bersama Ustaz Dr. Takiri setiap Isnin di IKIM jam 2.30 ptg
|
PERKENALAN |
Name: USTAZ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Home:
MAKLUMAT:
AL-USTAZ MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI, Pendakwah, Pendidik & Ahli perniagaan sepenuh masa. Bekas Pensyarah Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM (meletakkan jawatan Ogos 2008)
Berkelulusan B.A dan Master Bahasa & Kesusasteraan Arab di Universiti of Jordan dan Aal Bayt Univ, Jordan dan Phd Pengajian Islam di UKM.
KELAHIRAN
Dilahirkan di Kg Seberang Takir, K. Trg pada 1973. Anak sulong daripada 16 orang adik-beradik.
PENDIDIKAN
Pendidikan menengah awal di Sek. Men Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, K. Trg pada tahun 1986. Setelah mendapat
keputusan cemerlang dalam SRP pada tahun 1988, mendapat tawaran ke Kolej Islam Kelang. Namun hati lebih terpaut
untuk memasuki aliran Thanawi yang menggunakan bahasa Arab sepenuhnya di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin, K. Trg. Trg yang merupakan sekolah agama terbaik
menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik sekolah-sekolah agama di Terengganu. Namun, pengajian di aliran Thanawi tak sempat
diselesaikan kerana setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang diambil secara persendirian pada tahun 1990,
hati lebih berminat untuk segera ke luar negara menuntut ilmu. Justeru, tawaran untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1992
dengan biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia ke Universiti of Jordan diterima.
Alhamdulillah, berjaya mendapat Bachelor
dengan kepujian di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Univ. of Jordan pada tahun 1996. Seterusnya pengajian di peringkat Master
diteruskan dan berjaya mendapat Master di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Aal al-Bayt University, Mafraq,Jordan pada tahun 2000. Tajuk tesis Master ialah
Signifikan partikel setara dan genetif di sisi sarjana sintaksis dan sarjana Usul Fiqh serta pengaruhnya terhadap Kefahaman Teks Syara`
Seterusnya Phd Pengajian Islam di Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM dengan tesis bertajuk:
"Retorik Partikel Waw Dalam al-Qur'an Dan Pengaruhnya Terhadap Penterjemahan Makna al-Qur'an ke Dalam Bahasa Melayu."
PENGALAMAN BERTUGAS:
Pada tahun 1999 diterima bertugas sebagai guru bahasa di CELPAD, UIA. Setelah mendapat Master di awal 2000 dilantik sebagai Pensyarah Bahasa.
Mendapat tawaran sebagai pensyarah Bahasa di UITM pada tahun 2002 namun ditolak kerana hati lebih terpikat dengan UKM setelah diadakan beberapa kali istikharah.
Seterusnya bertugas sebagai Tutor pada tahun 2002 seterusnya Pensyarah bermula pada tahun 2006 di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM. pada Ogos 2008 meletakkan jawatan sebagai Pensyarah untuk memfokuskan kerja-kerja dakwah, pendidikan dan perniagaan.
TUGAS SEKARANG
Sekarang bertugas sebagai Pendakwah, Pendidik, Penulis, Aktivis Sosial dan Ahli Perniagaan sepenuh masa di samping sebagai Presiden dan Pensyarah di Kolej Islam Fuqaha
AKTIVITI PENGLIBATAN
Pengerusi Eksekutif & Pengasas Darul Fuqaha, Pengerusi Eksekutif&
Pengasas Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Presiden dan Pengasas Kolej Islam Fuqaha,Pengerusi Eksekutif dan Pengasas SRIP Tahfiz Kajang dan ALP SRIP Tahfiz K. Trg,
Pengasas dan Presiden Nadwah Ilmuan Muslim, Exco Persatuan Ulama Malaysia, Pengerusi Sekreteriat Penerbit & Pengedar Buku
Islam Malaysia (SPEEDI) dan Ahli Majlis Buku Islam Malaysia. Beliau cergas sebagai Penceramah (di masjid, tv dan radio), Penulis
(buku, artikel dan makalah), Penerbit (buku-buku Islam, Penggiat Sosial dan Pengamal Perubatan Islam.
PENULISAN BUKU
Antara buku beliau bertajuk:
1) Hukum Berurusniaga Dengan Yahudi Dunia
2) Hak-hak Bukan Islam Dalam Negara Islam
3) Adab-Adab Berdoa Dalam Islam
4) Terjemahan Tafsri Munir Juzuk 30
5) Hukum Wanita Menjadi Imam Solat Jumaat; Kontroversi Solat Jumaat Dr Amina Wadud
6) Perspektif Islam
7) Intipan Khalwat Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah; Menilai Pandangan Kontroversi Mufti Perlis
8)Hiburan & Gurau Senda Menurut Islam
PERHUBUNGAN
saya boleh dihubungi di
talian 013 3621236/ 0133890000 email attakiri@ukm.my / attakri@yahoo.com. Artikel dan tulisan beliau boleh dilayari di http://www.darulfuqaha.com & www.ceramahkhairuddin.com
baca lagi..
|
MUTIARA KATA TAKIRI |
Hiduplah untuk ISLAM pasti ALLAH limpahkan anda dengan kegembiraan dan ketenangan
|
Previous Post |
|
Archives |
|
KALENDAR |
|
SOAL-JAWAB HUKUM |
SEBARANG PERTANYAAN BERKENAAN HUKUM ATAU INGINKAN SEBARANG PERBINCANGAN MENGENAI SESUATU ISU,
PARA PENGUNJUNG DIMINTA UNTUK MEMASUKI FORUM YANG DISEDIAKAN. ANDA HANYA PERLU REGISTER
UNTUK MEMBUAT SEBARANG POSTING
|
Powered by |
 |
|